Portal yang kononnya "transparent" tapi lebih condong pada parti tertentu, Malaysiakini, semalam menyiarkan sebuah artikel tulisan Naib Pengerusi PKR, Hassan Karim, yang menulis atas tajuk "Merdeka tanpa Akta Hasutan".
Menulis panjang lebar, Hassan memberikan pelbagai alasan untuk menggesa supaya Akta Hasutan 1948 dimansuhkan sama sekali dari negara berbilang agama, bangsa dan budaya ini.
Antara alasannya ialah akta berkenaan digubal di zaman penjajah, kononnya ia digunakan bagi menghukum kebangkitan orang Melayu yang menentang penjajahan British di zaman itu.
Atas alasan itu, Hassan mendakwa Malaysia hanya akan benar-benar "merdeka" sekiranya akta tersebut dimansuhkan sama sekali di negara ini.
Persoalannya, adakah pandangan itu tepat dan Akta Hasutan 1948 itu wajar dihapuskan atas alasan kini dia digubal di zaman penjajah dan tidak relevan digunakan di zaman ini?
Apakah sesuai akta itu dihapuskan di sebuah negara berbilang agama, bangsa dan budaya ini?
Apatah lagi dengan keadaan terkini di mana hasutan, fitnah, tohmahan dan provokasi semakin menjadi-jadi khususnya menerusi laman-laman sosial, apakah akta berkenaan wajar dihapuskan?
Sekiranya akta tersebut dihapuskan, apakah mekanisma perundangan yang ada sekiranya ramai pihak yang mengambil kesempatan untuk menghasut tentang isu yang mengugat keharmonian agama, bangsa dan budaya di Malaysia?
Misalnya, setelah ISA dihapuskan Kerajaan atas kehendak pihak parti pembangkang sebelum ini, maka banyak jenayah terancang, provokasi melampau, aktiviti militan dan pelbagai jenayah makin banyak berlaku secara terang-terangan, termasuk jenayah geng kongsi gelap.
Apabila pihak berkuasa agak sukar untuk mengekang kegiatan jenayah seperti itu dengan akta baru, SOSMA yang menggantikan ISA, pihak pembangkang menangguk di air yang keruh dengan menyalahkan pihak kerajaan.
Dari tindak-tanduk dan analisis yang berlaku, jelaslah bahawa parti politik tertentu sengaja memperjudi dan menggadai keselamatan negara semata-mata untuk kepentingan politik mereka sahaja sedangkan keselamatan rakyat kini agak terancam, bukan?
Justeru, apakah kerajaan wajar menurut kehendak Hassan dan parti pembangkang yang mahu Akta Hasutan itu dimansuhkan segera?
Untuk rekod, Hassan baru saja dibebaskan dari tahanan polis setelah diikat jamin atas dakwaan yang membabitkan Akta Hasutan.
Hassan telah dipanggil ke Ibu Pejabat Polis Shah Alam untuk disoal siasat di bawah Seksyen 4(1) Akta Hasutan 1948 mengaku tidak bersalah terhadap dakwaan menghina Sultan Selangor dalam satu kenyataannya di akaun laman sosial miliknya.
"Sultan jenis apa dia ni? Ketika Selangor dalam krisis serius dia lari keluar negeri dan kerajaan Khalid di Selangor sekarang kerajaan haram, Exco pun haram; keputusan mesyuarat pun haram; gaji pun haram. Istana sokong benda haram", kata Hassan yang dipetik dari akaun Twitternya sebelum itu.
Mungkin kerana itulah Hassan bermati-matian mahu Akta Hasutan dihapuskan agar dia terselamat atas pertuduhan tersebut dan seterusnya dibebaskan dari hukuman mahkamah?
Islam juga melarang umatnya dari menghasut, bukan? Selalunya, hanya pencuri sahaja yang takut pada akta yang akan menghukum mereka. Adakah wajar kita hapuskan akta yang menghukum pencuri?
Seperkara yang perlu diingat, hanya penghasut yang mahu Akta Hasutan dihapuskan, bukan? Wallahua'alam...-KedahNews.com