Mukhriz Mahathir: Dulu dan Kini...

Timbul juga persepsi bahawa Mukhriz bukan anak kampung, tidak bergelumang "selut geleboq" dan tidak pernah menyerkap ikan darat di belakang "kubota". Dia seolah lahir dalam "lubuk emas" dan "tilam empuk" di dalam keluarga ternama...

Dua Tokoh Pemimpin Muda Kedah Terima Gelaran Datuk

Walaupun dalam usia 36 tahun, ibu kepada dua orang cahaya mata itu dilihat sebagai "role model" di daerah Kulim dan kini masih lagi memegang tanggungjawab sebagai Ketua Puteri UMNO Bahagian Kulim-Bandar Baharu.

"Hari Ini Exco Dengar Rintihan Kami..."

“Syukurlah sebab dah lama minta pihak bertanggungjawab naik taraf bazar ini. Hari ini Exco dengar rintihan kami dan beliau turun padang beri harapan yang tinggi kepada peniaga bazar di sini,”

KXP Bakal Semarak Ekonomi Kedah - Mukhriz Mahathir

"Sepertimana seluruh kawasan Kedah Utara mengalami pertumbuhan mendadak dalam tempoh yang singkat dengan pembukaan Universiti Utara Malaysia di Sintok, begitu jugalah diharapkan akan berlaku kepada negeri kita, malah turut melimpah ke negeri-negeri jiran seluruh Utara Semenanjung ini,"

Anak Pendang Ketuai Senarai 77 Terima Pingat Dari Sultan Kedah

Anak jati Kedah ini, yang dilahirkan pada 31 Mei 1982 di Pendang, merupakan penerima tunggal Bintang Keberanian Kedah (BKK). Beliau terlibat dalam insiden berdarah di Kampung Air Simunul, Semporna pada 2 Mac 2013 yang mengakibatkan 10 musuh ditembak mati, 14 ditangkap manakala enam anggota keselamatan pula terkorban.

"Layanilah Pihak Lain Sebagaimana Kamu Ingin Dilayani"

"Layanilah pihak lain sebagaimana kamu ingin dilayani’". Seruan sedemikian kerap dipetik dan dimajukan sebagai rukun persefahaman dan kerjasama antara warga pelbagai bangsa dan penganut pelbagai agama.

Friday, 19 September 2014

Kisah Doktor Wanita Malaysia Kahwini Tentera ISIS Di Syria...

"Shams", seorang anggota Negara Islam Iraq dan Syria (Isis) yang mengaku sebagai seorang doktor berusia 26 tahun dari Malaysia, menceritakan pengalamannya tinggal di negara yang dilanda perang saudara, Syria melalui media sosial.

Postingnya dalam blog beliau, "Diari seorang Muhajirah" menceritakan aktiviti beliau di Syria, termasuk perkahwinannya dengan seorang rakan anggota Isis selepas dia menjejakkan kaki di negara ini pada bulan Februari, dan juga rawatan perubatan yang beliau berikan kepada penduduk di sana.

"Selepas dua bulan di Shaam (Syria), akhirnya saya berfikir tentang berkahwin kerana kehidupan tanpa mahram (suami) adalah agak sukar dan ia boleh menyebabkan fitnah.

"Apabila saya memberitahu perkara ini kepada salah seorang rakan terbaik saya, beliau adalah orang paling gembira kerana saya tidak pernah berminat untuk kahwin sebelum ini," tulis Shams.

Cerita beliau tersebar di media sosial hari ini di laman web pertama yang BuzzFeed. Akaun Facebook beliau di bawah nama "Diari seorang Muhajirah" yang nampaknya bermula kurang daripada 24 jam lalu.

Katanya, dia bersetuju berkahwin dengan seorang lelaki yang tidak pernah ditemui - iaitu rakan kepada suami rakan beliau - dan beliau berkahwin pada hari pertama bertentang mata dengan lelaki itu.

"Dia memandang saya, mata kami bertentangan antara satu sama lain. Jantung saya berdebar lebih cepat daripada kelajuan cahaya," tulisnya.

"Dia tersenyum. Dan bertanya soalan yang saya tidak akan lupa sepanjang hidup.

"Bolehkah kita berkahwin hari ini? Selepas Asar?"

"Jauh di dalam hati saya menjerit, 'tidakkkk'. Tetapi saya tidak tahu mengapa saya menjawab 'Ya'."

Anekdot tersebut berselang-seli dengan minat memperjuangkan Negara Islam (IS) dengan fakta mengenai perkahwinan dalam IS. "Shams" juga memberikan peringatan kepada wanita untuk menyertai IS kerana Allah dan bukan untuk perkahwinan.

Menurut Shams, anggota IS diberi rumah percuma di Syria dan mereka tidak perlu membayar bil elektrik dan air. Barangan runcit bulanan juga disediakan kepada semua, dan juga elaun bulanan bagi pasangan suami isteri dan anak-anak.

Beliau juga cuba menjawab serangan media terhadap pejuang IS, dan menyifatkan kebanyakan daripada mereka "seperti kita."

"Orang-orang ini, kebanyakannya berumur dalam 20an dan belum berkahwin. Kebanyakan mereka adalah seperti kita, mereka pernah tinggal di masa jahiliah dan menyebabkan mereka bosan dengan kehidupan dunia ini dan mahukan perubahan.

"Orang-orang ini, mereka bukannya dari latar belakang buta huruf. Ramai daripada mereka datang daripada keluarga yang kaya dan hidup seperti seorang raja/putera berdasarkan dari mana mereka datang."

Menurut akaun Twitter dan akaun ask.fm beliau, yang kedua-duanya dipadamkan, Shams berasal dari Malaysia dan berumur 26 tahun ketika pergi ke Syria pada bulan Februari. -Malaysian Insider

Read More

Bangla Terpaksa Jadi "Orang Minyak" 20 Minit

KUALA BERANG -  Malang tidak berbau! Seorang pekerja warga Bangladesh bertukar menjadi orang minyak selepas terjatuh dalam tangki minyak berisi cecair tar, pagi kelmarin.

Dalam kejadian kira-kira jam 9.30 pagi itu, mangsa seorang pekerja di sebuah kuari di daerah ini terpaksa berendam dalam takungan cecair tar itu selama 20 minit sebelum berjaya diselamatkan setelah jeritannya didengari rakan sekerjanya.

Difahamkan, sebelum kejadian mangsa yang berusia 30-an sedang melakukan kerja penyelenggaraan bagaimanapun ketika cuba mengambil peralatannya yang terjatuh ke dalam tangki berisi cecair tar tersebut dia tergelincir dan turut tercampak ke dalam tangki.

Menurut sumber, mangsa menjerit meminta tolong beberapa lama sebelum pekerja lain menyedari kejadian itu dan berusaha membantu mengeluarkan mangsa.

“Pekerja warga Bangladesh ini dibawa keluar menggunakan tali yang diikat pada sebuah jengkaut kerana usaha awal membantu dengan cuba menariknya ke atas tidak berhasil.

"Ketika dia berjaya ditarik keluar, dia begitu keletihan serta tidak bermaya. Malah, seluruh tubuhnya dipenuhi tar seperti orang minyak," katanya.

Mangsa kemudiannya dibawa ke Hospital Hulu Terengganu untuk mendapatkan rawatan.

Sementara itu, Komander Operasi dari Balai Bomba dan Penyelamat Kuala Berang, Pegawai Bomba Salim Mansor berkata, pihaknya turut menerima panggilan berhubung kejadian itu yang memaklumkan ada seorang lelaki terjatuh dalam tangki minyak.

“Pihak kami menerima panggilan jam 10.02 pagi dan bergegas ke tempat kejadian menaiki sebuah jentera dengan kekuatan lima anggota.

"Sebaik tiba di sana didapati mangsa telah dibawa keluar oleh rakan sekerjanya daripada tangki tersebut," katanya. -Sinar Harian

Read More

Memang Melampau Ahli Parlimen DAP Kaitkan Negaraku Dengan Komunis

KUALA LUMPUR - Mengaitkan tindakan memainkan lagu Negaraku di panggung wayang dengan era komunis adalah perbuatan keterlaluan dan tidak bertanggungjawab kerana menghormati lagu kebangsaan merupakan asas seorang warganegara.
  
Pakar sejarah, Profesor Emeritus Tan Sri Khoo Kay Kim berkata setiap warganegara seharusnya mempunyai 'pertalian' dengan Negaraku, dan mereka yang mempertikaikan langkah memainkan lagu itu dalam sesuatu acara seharusnya dikenakan tindakan.
  
"Apa yang dimaksudkan dengan komunis? Mereka yang mengaitkan Negaraku dengan komunis hanya pandai temberang, tidak banyak pengetahuan tetapi mahu berkata-kata," katanya kepada Bernama di sini, hari ini.
  
Kay Kim juga kesal kerana semangat menghormati lagu kebangsaan lebih menebal di dalam diri masyarakat di luar negara, berbanding rakyat Malaysia.
  
"Jika dikatakan itu (memainkan Negaraku di panggung wayang) sebagai komunis, adakah rakyat lain yang menunjukkan sikap kenegaraan tinggi semasa lagu kebangsaan mereka dimainkan juga komunis?," soalnya.
  
Semalam, Ahli Parlimen Kuching, Chong Chieng Jen dari DAP dikecam kerana mempersoalkan lagu Negaraku dimainkan di pawagam semasa sambutan Kemerdekaan dan Hari Malaysia, dalam akaun Facebooknya.
  
Status Chieng Jen, antara lain, menyebut "Since when has this playing national anthem in cinema started? Is Malaysia heading towards the communist Mao era where everywhere you go you must shout out loud and show that you are a patriot?"
  
Selepas mendapat komen reaksi negatif daripada pengguna laman sosial, Chieng Jen kemudiannya memohon maaf dan memadamkan status berkenaan.
  
Pensyarah Kanan Jabatan Sejarah Universiti Malaya Dr Mardiana Nordin pula berkata individu tidak seharusnya melihat 'keperluan untuk berdiri menghormati Negaraku sebagai satu bentuk paksaan yang keterlaluan', apatah lagi ia tidak mengambil masa yang lama.
  
"Sepatutnya individu yang tidak menghormati lagu kebangsaan berasa malu pada diri sendiri kerana Negaraku apabila dimainkan di negara luar pada kejohanan sukan misalnya, mereka (orang luar) akan berdiri walaupun tidak memahami maksudnya," katanya.

Menghormati lagu kebangsaan juga merupakan satu cara untuk menzahirkan sikap patriotik dan cintakan negara dalam diri, berbeza daripada cara generasi terdahulu yang sanggup menggadai nyawa mendapatkan kemerdekaan, tambahnya.
  
Bagi Anggota Jawatankuasa Kluster Pendidikan dan Pembangunan Modal Insan Majlis Profesor Negara, Prof Dr Othman Lebar berpendapat perbuatan tidak menghormati lagu kebangsaan berpunca kerana sifat 'mengambil mudah' dengan kemakmuran negara.
  
Beliau yang berpeluang mengalami pengalaman berdiri di dalam panggung wayang baru-baru ini, juga kesal kerana terdapat segelintir masyarakat khususnya generasi Y yang tidak memandang serius keperluan menghormati lagu kebangsaan.
  
"Mereka yang melihat perlu menegur individu itu (tidak berdiri), namun disebabkan nilai masyarakat yang semakin berkurangan menyebabkan mereka hanya memandang, kerana bimbang dianggap mencampuri urusan orang," katanya.
  
Sementara di Kuching, Pengerusi Kelab Penyokong Barisan Nasional Sarawak, Abdullah Saidol melahirkan perasaan meluat dengan status Facebook Chieng Jen dan komen terhadap lagu kebangsaan itu tidak akan dilupakan walaupun Ahli Parlimen DAP itu sudah memohon maaf.
  
"Banyak orang telah membaca komen beliau (Chieng Jen) dan beliau sepatutnya malu dengan diri sendiri," kata Abdullah, menambah inisiatif untuk memainkan lagu itu di dalam panggung wayang untuk menimbulkan kesedaran pentingnya sambutan bulan kemerdekaan di Malaysia.
  
TGV Cinemas Sdn Bhd (TGV) dan Golden Screen Cinemas (GSC) pula memberitahu mereka tidak menerima aduan daripada penonton yang terganggu kerana perlu berdiri sebelum tayangan filem bermula.
  
Lagu Negaraku berkumandang di 70 pawangan seluruh negara bermula 28 Ogos lalu sehingga 16 September di GSC, manakala di TGV bermula juga 28 Ogos dan berakhir semalam.
  
Langkah ini hasil cadangan Menteri Komunikasi dan Multimedia, Datuk Seri Ahmad Shabery Cheek.
  
Pengurus Kanan Pemasaran TGV Celeste Koay berkata mereka bangga kerana dapat menjadi sebahagian daripada inisiatif kerajaan dalam memupuk semangat patriotisme dalam rakyat Malaysia.
  
"Kami berbangga apabila pelanggan kami, tidak mengira bangsa dan agama berdiri semasa Negaraku dimainkan," katanya dan turut berterima kasih kepada semua rakyat Malaysia yang memberikan kerjasama.
  
Sementara itu, jurucakap GSC pula memberitahu mereka bersedia untuk terus memainkan lagu Negaraku jika diminta untuk berbuat demikian. - Bernama

Read More

Ketua Polis Kulim Isytihar Perang Dadah

SIAPA sangka dari konstabel polis biasa, kini beliau berjaya menjawat jawatan Ketua Polis Daerah Kulim dengan berpangkat Superitendan.

Itulah kisah Superintendan Abdullah Arshad yang dilahirkan pada 16 Mei 1957 di sebuah perkampungan di Mersing, Johor.

Beliau merupakan anak ketiga dari 12 beradik dan mendapat pendidikan awal di Sekolah Kebangsaan Semaloi, Endau, Johor.

Setelah tamat sekolah rendah, beliau melanjutkan pelajaran ke Sekolah Menengah Ungku Husin di Endau sehingga tingkatan tiga sebelum berpindah ke Sekolah Menengah Kebangsaan Mersing sehingga tingkatan lima.

Pada 16 Mei 1975, beliau menyertai pasukan polis dan menjalani latihan selama enam bulan di Pusat Latihan Polis (Pulapol) Jalan Semarak, Kuala Lumpur.

Setelah tamat latihan, beliau ditugaskan ke Jerantut, Pahang pada 1976 hingga 1978 dan menjalankan tugas am, kemudian pada 1978, beliau ditukarkan ke Kuantan, Pahang.

Di situ timbul keinginan untuk melanjutkan pelajaran ke tingkatan enam dan berkat kesabaran dan ketekunannya menelaah pelajaran, beliau lulus dalam peperiksaan dengan cemerlang.

"Saya kemudiannya membuat permohonan untuk mengisi kekosongan jawatan Inspektor ketika itu. Pada 20 Mei 1980, permohonan saya diluluskan dan mula menjalani latihan di Pulapol Jalan Semarak.

Setelah tamat latihan, saya ditugaskan ke Raub, Pahang dan menjawat jawatan Komandan Unit Kawalan Kawasan, Teras sebelum diserapkan sebagai pegawai penyiasat di Bahagian Kongsi Gelap dan Dadah di daerah Raub pada penghujung 1990.

"Setelah bertugas beberapa tahun, saya ditukarkan ke Perak dan menjalankan tugas sebagai Inspektor kawasan Pusing,” katanya kepada Sinar Harian.

Abdullah berkata, pada 1997, beliau dinaikkan pangkat Asisten Superintendan dan bertugas di Pulapol sebagai pensyarah undang-undang sehingga 1998 dan beliau kemudiannya melanjutkan pelajaran ke Universiti Malaya dalam jurusan Diploma Sumber Manusia.

"Setelah tamat pengajian, saya ditugaskan ke Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Ipoh di Bahagian Pentadbiran pada 2004. Pada 2005 hingga 2006, saya melanjutkan pelajaran ke Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) dalam jurusan Diploma Sains Kepolisan.

“Pada 2007 saya ditukarkan ke Tapah, Perak dan menjawat jawatan sebagai Timbalan Ketua Polis Daerah Tapah sehingga 14 Jun 2014. Pada 15 Jun tahun yang sama, saya ditugaskan menjadi Ketua Polis Daerah Kulim sehingga kini,” katanya.

Abdullah berkata, sepanjang berkhidmat bersama polis, terlalu banyak kenangan yang dilaluinya.

Katanya, antara pengalaman tidak dapat dilupakan adalah ketika baru melaporkan diri sebagai anggota polis pada 1977 di Jerantut, Pahang di mana beliau terlibat dalam satu operasi di Batu Balai.

“Ketika itu saya bersama seorang rakan sedang makan di sebuah kedai berhampiran dengan IPD Jerantut. Kami terdengar bunyi siren dari IPD dan bergegas ke sana. Apabila tiba di sana, saya bersama lima anggota lain dimaklumkan berlaku kejadian berbalas tembakan antara polis dan pengganas komunis dalam ladang getah di Batu Balai.

Kami mengambil senjata dan masuk ke dalam kenderaan polis sebelum bergegas ke tempat kejadian. Operasi ketika itu diketuai oleh Inspektor Mustafa Ali.

"Tiba-tiba pegawai berteriak down dan kami semua meniarap di atas tanah mencari tempat perlindungan.

"Setelah selesai, Inspektor Mustafa Ali memanggil semua enam nama anggota terlibat bagaimanapun seorang anggota tidak menyahut. Kami kemudiannya cuba mencari anggota terlibat dan mendapati dia tercedera.

Ketika sedang membuat pemeriksaan di tempat kejadian, seorang pengganas komunis datang ke arah kami dan berkata tolong jangan tembak saya. Kami kemudiannya menahan lelaki itu manakala seorang pengganas komunis ditemui mati oleh anggota lain.

Baju saya ketika itu berlumuran darah bagaimanapun tetap membawa anggota komunis ditahan dan maut ke Balai Polis Batu Balai manakala anggota polis yang tercedera dibawa ke Hospital Jerantut untuk menerima rawatan,” katanya.

Menurutnya, sebagai Ketua Polis Daerah Kulim, beliau mahu masyarakat memandang polis sebagai rakan kerana dengan cara ini hubungan antara penduduk dan polis lebih erat.

"Saya akan pastikan kadar jenayah di Kulim dapat dikurangkan ke tahap minimum bagi memastikan penduduk serta orang awam berada dalam keadaan selamat selain dapat hidup dalam keadaan aman dan harmoni.

"Saya juga nekad untuk membanteras kegiatan dadah di daerah ini kerana ia merupakan anasir utama yang merosakkan semua golongan. Saya akan terus memerangi jenayah dan dadah sehingga Kulim bebas dari semua kegiatan tidak bermoral ini," katanya. -Sinar Harian

Read More

Apa Erti Jihad, Syahid Dan Syurga Yang Sebenar...


DUNIA sekarang menyaksikan umat Islam berperang dan berbunuhan sesama sendiri, seolah-olah agama membenarkan peperangan dan pembunuhan.

Golongan yang mengaku berjihad atas nama Islam, atas nama negara Islam, atas nama tentera khalifah juga, akan memancung kepala sesama Islam.

Hal ini amat mengelirukan kerana Islam tidak membenarkan pembunuhan kecuali di dalam kes-kes tertentu yang amat kecil perangkaannya.

Malah antara kesalahan pertama yang diharamkan oleh Islam ialah perbuatan manusia zaman jahiliah yang membunuh anak-anak mereka yang baru dilahirkan.

Al-Quran di dalam surah Al-An’am (6) ayat 151 menerangkan dengan jelas di antara perkara yang diharamkan ialah perbuatan membunuh anak-anak.

Maka ALLAH SWT menerangkan bahawa sekiranya pembunuhan bayi itu dilakukan kerana takut tidak dapat diberikan makanan kepada mereka, maka ALLAH yang memberikan rezeki kepada anak-anak itu, malah ALLAH jugalah yang memberikan rezeki kepada mereka yang membunuh anak-anaknya itu.

Dengan ini ternyata bahawa jiwa dan nyawa manusia itu adalah sesuatu yang suci dan perlu dipelihara, sebab itulah ALLAH melarang manusia dengan sekeras-kerasnya jangan membunuh orang dan jangan pula membunuh diri sendiri.

Malah ajaran agama menuntut manusia memelihara nyawanya, sehinggakan jika seseorang itu akan mati jika dia tidak memakan makanan yang haram seperti bangkai, maka dia hendaklah memakannya untuk memelihara kelangsungan nyawanya.

Jadi apakah nyawa manusia yang begini suci dan sewajibnya dipelihara, akan begitu mudah pula dihapuskan seperti yang berlaku di dalam masyarakat manusia pada hari ini termasuk sesama Islam sendiri, yang sewenang-sewenangnya membunuh dan mengambil nyawa orang lain begitu mudah sekali, malah membunuh diri sendiri untuk membunuh orang lain seperti yang dilakukan oleh pembunuh berani mati.

Al-Quran banyak sekali menerangkan kepada manusia bahawa pembunuhan adalah haram dan ditegah kecuali di dalam beberapa situasi yang tertentu.

Hal inilah yang sangat perlu difahami oleh umat Islam sendiri terutamanya di dalam masyarakat Islam sekarang ini yang telah menjadi amat lumrah bahawa segala pertikaian di antara mereka haruslah diselesaikan dengan peperangan, walaupun peperangan itu dilakukan tanpa hak dan justifikasi yang diizinkan syarak.

Pada zaman permulaan Islam, ketika Rasulullah SAW mulai menyeru manusia untuk menganut agama tauhid, mengesakan ALLAH dan melakukan amalan yang dibawa oleh Islam, Islam hanya membenarkan peperangan dilakukan ke atas musuh yang menyerang baginda, seperti yang disebutkan di dalam Surah Al-Baqarah ayat 190:
"Dan berperanglah pada jalan ALLAH orang yang memerangi kamu, dan janganlah kamu melampaui batasan (iaitu dengan memulakan peperangan) kerana ALLAH tidak menyukai orang yang melampaui batasan".
Peperangan ini dilakukan demi untuk menegakkan agama ALLAH yang suci, iaitu ketika musuh mencuba menentangnya dengan kekerasan untuk menggagalkan usaha Rasulullah maka pada ketika itu baginda haruslah bertindak mempertahankan agama dan dirinya dengan mengangkat senjata.

Namun begitu baginda tidak seharusnya menyerang mereka secara zalim dan melampaui batas.

Dalam keadaan ini, maka pembunuhan yang berlaku sesama Islam, malah pertumpahan darah yang berlaku di bumi para nabi dan rasul sekarang ini adalah satu tindakan yang terang-terang bercanggah dengan ajaran Islam sebenar, walaupun terdapat dakwaan yang mengatakan bahawa masing-masing berjihad kerana hendak menegakkan hukum ALLAH.

Oleh itu para belia dan angkatan muda Islam haruslah mempelajari dan memahami dengan semasak-masaknya isu ini dari perspektif Islam sebelum terpengaruh dengan pengajaran yang hanya akan memerangkap mereka dalam dosa atas gambaran syahid dan syurga, sedangkan perbuatan yang dilakukan adalah berlawanan dengan konsep syahid, jihad dan janji syurga yang sebenarnya.

Penulis merasakan bahawa kita di Malaysia masih menghormati nilai-nilai tamadun dan peradaban Islam serta memahaminya dengan baik. Oleh itu para generasi baru Islam haruslah memahami konsep dan falsafah perjuangan Islam yang di namakan jihad untuk mati syahid dan menerima balasan syurga itu.

Amat malang sekali bila kita membaca berita terkini bahawa terdapat umat Islam dari negara kita, walaupun hanya segelintir, yang turut berjuang di Asia Barat dengan kumpulan tertentu sedangkan hakikat sebenar perbuatan mereka itu tidak mereka fahami dengan sebaik-baiknya dari segi ajaran syariah Islamiah sendiri.

Sekali lagi penulis ingin menekankan supaya pihak kerajaan, penguasa agama dan masyarakat Islam di negara kita mengambil tindakan yang sewajarnya untuk menjelaskan kepada masyarakat tentang kedudukan hukum dan fatwa sebenar bagi pertumpahan darah dan pembunuhan yang berlaku di negara-negara Islam sekarang ini supaya masyarakat Islam di negara kita tidak terjebak dengan perangkap dosa ini.

Sumber: Sinar Harian

Read More

Sanggup Curi Kereta Untuk Bawa Lembu Curi

Suspek (tengah) ditahan untuk siasatan lanjut.
KULIM - Hasrat seorang lelaki untuk mencuri lembu tidak berhasil apabila kegiatannya itu berjaya dihidu anggota polis Cawangan Pencegahan Jenayah (CPJ), Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kulim.

Ketua Polis Daerah Kulim, Superintendan Abdullah Arshad berkata, suspek yang berusia dalam lingkungan 20-an turut mencuri kereta yang akan digunakan untuk membawa lembu bagi kegunaan Hari Raya Aidiladha.

Menurutnya, polis menjumpai kereta jenis Proton Wira yang disembunyikan di hadapan kilang papan di Jalan Kulim Baling.

"Pemeriksaan dijalankan terhadap enjin dan nombor casis kenderaan terlibat mendapati ia masih dilaporkan hilang di Taman Kenari.

"Suspek turut mengaku mencuri kereta itu yang akan digunakan untuk mencuri lembu di kawasan berhampiran," katanya.

Abdullah berkata, suspek berjaya ditahan di rumahnya sebelum dibawa ke IPD untuk menjalani ujian saringan air kencing di Bahagian Siasatan Jenayah Narkotik.

"Dari pemeriksaan dijalankan, suspek dipercayai positif opiat dan metapitamin selain turut didapati terlibat dalam beberapa kegiatan jenayah," katanya.

Katanya, sehingga kini polis telah mendapat beberapa nama suspek terlibat dalam kegiatan mencuri lembu dan kereta.

"Usaha untuk menjejaki mereka terlibat giat dijalankan sepertimana dilakukan terhadap penjenayah mencuri motosikal,” katanya. -Sinar Harian

Read More

Kenalan Facebook Rogol, Seks Luar Tabii, Rompak Mangsa

KUALA LUMPUR - Seorang penganggur mengaku tidak bersalah di Mahkamah Sesyen di sini, hari ini atas tiga pertuduhan iaitu merogol, melakukan seks luar tabii dan merompak wanita yang dikenalinya melalui Facebook.

Mohamad Faiz Apandi, 28, dituduh merogol mangsa yang berusia 21 tahun itu di sebuah jalan di Brickfields pada 8 malam, 23 Ogos lepas dan didakwa mengikut Seksyen 376(2) Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara sehingga 30 tahun serta sebatan jika sabit kesalahan.

Tertuduh yang tidak diwakili peguam turut dituduh melakukan seks luar tabii terhadap mangsa di tempat, waktu dan tarikh sama dan didakwa di bawah Seksyen 377C Kanun Keseksaan yang membawa hukuman penjara sehingga 20 tahun serta sebatan.
 
Mohamad Faiz juga dituduh merompak telefon bimbit dan wang tunai RM200 milik wanita itu dengan bersenjatakan pisau di tempat, tarikh dan waktu yang sama dan didakwa mengikut Seksyen 392 Kanun Keseksaan yang dibaca bersama Seksyen 397 kanun sama  yang membawa hukuman penjara sehingga 14 tahun dan sebatan.

Hakim Azwarnida Affandi tidak membenarkan tertuduh diikat jamin dan menetapkan 2 Oktober ini untuk sebutan semula bagi Mohamad Faiz melantik peguam.

SEBELUM ITU, di Mahkamah Sesyen berlainan, Mohd Faiz menghadapi tiga lagi pertuduhan iaitu melakukan rompakan bersenjata, mencuri kereta dan satu pertuduhan pilihan memiliki harta curi iaitu sebuah kereta.

Dia dituduh merompak beg tangan seorang wanita bersenjatakan sebilah pisau, di Lorong Sentul Jaya, pada 4 pagi, 7 Ogos lepas dan didakwa mengikut Seksyen 392 Kanun Keseksaan yang dibaca bersama Seksyen 397 kanun sama yang boleh dihukum sehingga 14 tahun dan sebatan.

Bagi pertuduhan kedua, dia didakwa mencuri kereta Perodua Myvi milik Hamidah Yon di tempat letak kereta hadapan kedai Benneli Showroom, Jalan Ipoh antara 4 pagi dan 6 pagi hari yang sama.

Sementara bagi pertuduhan pilihan, Mohamad Faiz didakwa memiliki harta curi iaitu kereta yang sama ketika berada di tepi jalan, di hadapan Hotel YY318, Jalan Pudu, pada 6.15 pagi 29 Ogos lalu.

Bagi pertuduhan itu, dia didakwa mengikut Seksyen 411 Kanun Keseksaan yang membawa hukuman penjara maksimum lima tahun atau denda atau kedua-duanya sekali jika sabit kesalahan.

Hakim Azman Ahmad turut tidak membenarkan tertuduh diikat jamin dan menetapkan 7 Oktober sebutan semula.

Kesemua kes itu dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya Siti Aisyah Ahmad dan S. Nithia. - Bernama

Read More

Pesanan Abby - Norman Buat Peminat Sebak...

Pesanan bekas anggota Elite, Abby Abadi, kepada bekas suaminya, Norman Hakim, sempena hari ulang tahun ke-enam kelahiran anak mereka, Maria Danisha Hakim, amat menyentuh hati sebilangan peminat kedua pasangan yang telah terpisah itu.

Memetik dari laman instagram Abby atau nama sebenarnya, Arba'iyah Abdul Manan, dia meminta agar Norman menjaga anak-anak mereka dengan baik sekiranya dia "pergi dulu" nanti.

"Andai saya pergi dulu, jagalah anak-anak ini dengan sebaiknya. Jangan dibeza-beza", pesan Abby pada bekas suaminya itu.


Mungkin tersentuh dengan pesanan bekas isterinya, Norman membalas kenyataan di laman sosial itu dengan kenyataan yang tidak kurang, mampu membuat ramai tersentuh.

"HAPPY 6TH BIRTHDAY babyku sayang #mariadanishahakim ! Papa sayang baby sangat2 tau…baby be a good muslimah ok! Kalau papa termarah sikit ke, papa minta ampun maaf. Baby jangan ambil hati ok sebab marah tu tandanya sayang jugak. Papa akan sentiasa menjadi semut baby yang besar yang akan sentiasa berada dengan baby bila-bila masa baby perlukan papa InshaaAllah. Allah & para malaikat, pls keep my daughter #mariadanishahakim safe & warm dibawah lindunganMu. Kurniakanlah segala kebaikan, keceriaan & kegembiraan buat dirinya. I love u till the last breath of my life sayangku baby #mariadanishahakim," balas Norman.

Ekoran itu, ramai di kalangan peminat kedua pasangan terpisah itu merasa terharu dengan status mereka hingga ada yang hampir mengalirkan airmata dan mendoakan agar Abby diberikan jodoh yang baik segera.


Abby yang terkini menafikan gosip mengenai dirinya yang dikatakan bakal dipinang seorang lelaki bergelar "ustaz" meskipun rakan karibnya, Azza Elite, seolah-olah membayangkan bekas isteri Norman itu mempunyai hubungan istimewa dengan "ustaz" tersebut dalam sebuah rakaman Youtube.


Abby menjelaskan bahawa ustaz berkenaan hanyalah berstatus "teman tapi mesra". - KedahNews.com

Read More

Sah! Selangor Dapat MB Baharu Selasa Ini

Negeri Selangor bakal menerima Menteri Besar bagi menggantikan penyandang jawatan tersebut, Tan Sri Khalid Ibrahim yang "digulingkan" parti sendiri baharu pada Selasa ini.

Menurut sumber, Setiausaha Sulit kepada Sultan Selangor, Datuk Mohamad Munir Bani telah mengesahkan bahawa Istiadat Angkat Sumpah Menteri Besar Selangor yang baharu akan diadakan  pada jam 10.00 pagi, pada hari tersebut.

Beliau turut menjelaskan bahawa majlis berkenaan bakal dilangsungkan di Istana Alam Shah, Klang.

Bagaimanapun, Mohamad Munir dilaporkan enggan mendedahkan calon terpilih yang bakal dilantik Sultan Sharafuddin Idris Shah sebagai Menteri Besar Selangor yang baharu.

Ketua Umum PKR, Datuk Seri Anwar Ibrahim sebelum ini memilih isterinya, Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail sebagai calon tunggal bagi menggantikan Khalid meskipun menyedari titah Sultan Selangor yang mahukan lebih dari dua nama calon dikemukakan pada pihak istana.

Selain itu nama Pesuruhjaya PAS Selangor, Iskandar Abdul Samad, turut dikatakan antara nama yang bakal dipilih sebagai Menteri Besar Selangor selain Timbalan Presiden PKR, Azmin Ali, yang dilapor turut mendapat pencalonan. -KedahNews.com

Read More

2 Adun PAS Rela Dihukum Demi Pertahan Wan Azizah

PETALING JAYA - Dua Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) PAS, Saari Sungib (Hulu Kelang) dan Hasnul Baharuddin (Morib) menegaskan mereka berada di pihak benar dan sedia menghadapi sebarang kemungkinan daripada Jawatankuasa Disiplin parti berhubung tindakan membelakangi parti dalam krisis politik di Selangor.

Bagaimanapun, kedua-dua mereka mengakui tiada sebarang panggilan telefon mahupun surat tunjuk sebab diberikan supaya tampil memberi penjelasan kepada Jawatankuasa Disiplin yang diketuai oleh Datuk Wan Mutalib Embong, walaupun pelbagai amaran dan desakan dikeluarkan.

"Sehingga hari ini masih tak ada sebarang panggilan telefon mahupun surat rasmi yang saya terima. Yang ada hanyalah khidmat pesanan ringkas (SMS) berbaur ugutan dan hinaan daripada pihak-pihak yang berang dengan tindakan saya menandatangani akuan bersumpah (SD) menyatakan sokongan terhadap Pakatan Rakyat Selangor.

"Jika dipanggil saya bersiap sedia, hadir dengan membawa saksi dan peguam jika diperlukan. Saya akan memberikan penjelasan dan membela diri berhubung pendirian yang dinyatakan pada sidang media 14 Ogos lalu," kata Saari kepada mStar Online pada Khamis.

Beliau turut melahirkan kenyakinan bahawa tidak gentar terhadap sebarang ancaman dan sedia menghadapi sebarang kemungkinan sekiranya Jawatankuasa Disiplin parti mengambil tindakan tatatertib ke atas dirinya.

"Saya yakin di pihak yang benar. Saya akan pertahankan diri...Sekali lagi saya jelaskan keputusan menandatangani SD menyatakan sokongan kepada calon menteri besar Selangor ketika itu adalah untuk menyelamatkan kedudukan PR di Selangor dan untuk mengelakkan PAS daripada bergabung dengan Umno.

"Hal ini kerana, Tan Sri Khalid Ibrahim (menteri besar Selangor) mengakui beliau mempunyai majoriti ketika itu," ujarnya.

Mengulas lanjut Saari turut melahirkan kenyakinan terhadap kredibiliti dan ketelusan Jawatankuasa Disiplin PAS pusat dalam menyelesaikan kemelut dan krisis yang berlaku.

"PAS sebuah parti yang adil dan telus. Keputusan presiden juga tidak mendapat sokongan semua pihak. Ingin juga saya tegaskan keputusan tandatangani SD tersebut adalah pendirian masing-masing tanpa ada pengaruh daripada mana-mana pihak," katanya.

Sementara itu, Hasnul turut menegaskan beliau tidak akan menarik balik kenyataan sebelum ini biarpun mendapat kecaman daripada pelbagai pihak.

Beliau juga bersedia memberi penjelasan dalam isu berkenaan sekiranya dipanggil untuk memberikan keterangan dalam isu berkenaan.

"Sehingga hari ini tak ada apa-apa yang saya terima daripada mereka (Jawatankuasa Disiplin). Keputusan masih sama saya berpegang kepada SD yang ditandatangani sebelum ini dan ia dibuat demi menyelamatkan Pakatan Rakyat di Selangor.

Hasnul turut mengakui dirinya tidak menghadapi masalah dengan rakan-rakan Adun yang lain sejak namanya menjadi bualan pihak media.

"Saya tidak ada masalah, hari ini pun saya hadir Muktamar PAS pusat ke-53 di Batu Pahat sebagai pemerhati," katanya.

Pada Rabu,  Dewan Ulama PAS pusat sebulat suara meluluskan usul agar parti mengambil tindakan disiplin terhadap Saari dan Hasnul kerana didakwa membelakangi keputusan yang diputuskan oleh Majlis Syura Ulama dan Presiden, Datuk Seri Abdul Hadi Awang yang menyokong Abdul Khalid dikekalkan sebagai menteri besar Selangor.

Wakil Dewan Ulama dilaporkan berkata sayap parti turut  melihat bahawa tindakan kedua-dua Adun PAS itu boleh dikenakan tindakan termasuk dipecat daripada parti. -Mstar

Read More

#MH17: USD$30 Juta Tunai Ditawar Pada Sesiapa Dedah Dalang Tragedi


LONDON - Seorang penderma yang tidak dikenali telah mendepositkan AS$30 juta (RM96.53 juta) ke akaun sebuah firma penyiasatan persendirian Jerman untuk ditawarkan kepada mana-mana pihak yang dapat mengemukakan bukti siapakah yang bertanggungjawab menembak jatuh pesawat Penerbangan Malaysia (MAS) MH17 pada 17 Julai lalu di ruang udara Timur Ukraine.

Ia adalah wang tawaran paling besar dalam sejarah dunia - mengatasi jumlah yang ditawarkan untuk menangkap Osama bin Laden.Tanggungjawab untuk memulakan penyiasatan persendirian itu diserahkan kepada Wifka, sebuah firma yang berpusat di Schleswig-Holstein di Utara Jerman.

Wifka dalam satu kenyataan yang disiarkan oleh sebuah media berbahasa Inggeris Jerman, The Local, menegaskan sejak kejadian pembunuhan itu yang mengorbankan 298 penumpang dan anak kapal, semua orang menyebut bahawa mangsa-mangsa itu memerlukan pembelaan dan sanak keluarga mereka serta masyarakat antarabangsa juga memerlukan jawapan siapakah yang sebenarnya bertanggungjawab menembak jatuh pesawat berkenaan.

Malangnya, kata Wifta, belum ada satu pun daripada persoalan ini dijawab walaupun siasatan ke atasnya sedang dijalankan oleh sebuah jawatankuasa antarabangsa.

Kini, tanggungjawab untuk mencari jawapan tersebut telah diserahkan kepada seorang pakar penyiasat persendirian yang berpengalaman selama 30 tahun dalam bidang ini iaitu Josef Resch.
"Setiap orang ada harganya. Ia hanyalah persoalan berapa banyak," kata Resch yang yakin tawaran AS$30 juta itu akan membuka mata mereka yang ada harga.

Resch juga mengesahkan yang dia telah pun menerima upah sebanyak Euro 40,000 untuk memulakan penyiasatannya dan dia tidak ragu-ragu akan menemui orang yang bersedia menerima wang sebanyak itu (AS$30 juta)  untuk mendedahkan kebenaran di sebalik insiden itu.

Wifka menegaskan, sesiapa sahaja yang dapat mendedahkan - siapakah yang bertanggungjawab dan terlibat dalam menembak pesawat MH17 itu, siapa yang menyembunyikan kebenaran di sebalik kejadian itu dan apa yang telah terjadi kepada senjata yang digunakan untuk menembak jatuh MH17  - akan menerima hadiah wang tunai AS$30 juta yang ditawarkan itu.

Malah Wifta juga memberi jaminan bahawa orang yang mendedahkan semua kebenaran ini akan diberikan identiti baru sebagai langkah perlindungan.

Wang hadiah tersebut kini tersimpan di Zurich, tetapi Wifka sekali lagi menegaskan yang mereka tidak tahu siapakah penderma nya. Identitinya menjadi rahsia.

Satu-satunya maklumat yang mereka ada ialah, pihak yang menjadi orang tengah dalam rundingan ini bertutur dalam loghat Switzerland.

Jumlah tawaran AS$30 juta itu melebihi jumlah wang yang ditawarkan kepada sesiapa yang dapat mendedahkan maklumat sehingga tertangkapnya Osama bin Laden iaitu sebanyak AS$25 juta (RM80.45 juta). -Mstar

Read More

Berita Baik Untuk Lelaki: Maya Karin Akui Sudah "Single" Kembali!


Rasanya baru sahaja beberapa bulan lalu Maya Karin keluarkan kenyataan yang beliau kini sedang bahagia dengan kekasihnya dan berkongsi harapan untuk mendirikan rumahtangga dalam masa dua tahun dari sekarang. Nampaknya kini cerita sudah berbeza.

Memetik laporan Kosmo.com.my, Maya Karin mengakui dirinya kini sudah kembali solo dan tidak lagi terikat dengan sesiapa selepas tidak dapat lagi meneruskan hubungan jarak jauh antara mereka berdua dan ketiadaan masa.

“Buat masa sekarang Tuhan tidak berikan lagi saya jodoh yang kuat, jadi mungkin selepas ini saya perlu membuka hati kepada individu lain pula.

"Ya, kami berpisah dengan cara baik atas dasar keadaan yang tidak mengizinkan untuk kami terus bercinta.

“Saya sudah kembali solo dan ada banyak sebab yang memutuskan hubungan kami berdua. Salah satunya kerana kami terlalu sibuk hingga tiada masa untuk diluangkan bersama-sama,

“Selain itu, faktor jarak menjadi penghalang percintaan kami untuk kembang dengan sempurna. Susah juga untuk terbang ke sana setiap masa, bagi saya hubungan tidak patut terlalu susah dan tidak harus terlalu berjuang untuk mempertahankannya,“ kata Maya.

Pelakon ini turut menambah yang beliau tidak mahu terus membiarkan dirinya hanyut kerana cinta kerana kini sibuk menguruskan kerjayanya yang semakin berkembang. - Muhamad Hafizzudin Mohd Daud/KedahNews.com 

Read More

Muktamar PAS: Mat Sabu Ganti Hadi?

Bukan senang menjadi orang nombor dua, sama ada dalam parti lebih-lebih lagi dalam sesebuah kerajaan yang memerintah. Pengalaman dilalui Anwar Ibrahim atau Musa Hitam ataupun Pak Ghafar Baba adalah satu testimoni. Mereka pernah menjadi timbalan kepada Dr Mahathir Mohamed.

Sebaliknya, pengalaman sama sekali berlainan bagi  Presiden Pas, Haji Abdul Hadi Awang bila berdepan isu ini. Tentu sukar menjadi orang nombor satu kerana orang nombor duanya tidak sealiran. Ia memberi gambaran Pas kini satu kapal dua nakhoda.

Krisis di Selangor terserlah watak sebenar Mohamad Sabu atau lebih dikenali Mat Sabu dan beberapa yang lain dalam Pas. Kelihatan puak ini yang lebih condong kepada Anwar daripada presiden sendiri.

Pengalaman pahit Hadi dikesan sejak penolakan kerajaan perpaduan oleh Pas ketika Pak Lah jadi perdana menteri lagi. Hadi secara terbuka menganjurkan konsep kerjasama ini tetapi membatalkan apabila mendapat tentangan dari dalam. Ketika sama perundingan dengan Umno dijuruterai timbalan Hadi, Nasharudin Mat Isa.

Bagaimanapun ibarat bayi yang belum sempat lahir ke dunia, telah awal-awal lagi 'ditalkin' puak pro Anwar apabila mereka mengesan strategi Hadi dan penyokongnya. Menjadi mangsa ialah   Nasha yang dikritik hebat.         

Lebih jelas perbezaan antara mereka membabitkan isu pelantikan MB Selangor. Jawatankuasa Pusat yang konon dikuasai puak pro Anwar sebagai kompromi mencadangkan dua nama - Wan Azizah dan Azmin Ali. Tetapi Hadi menggunakan kuasa veto selaku presiden  dengan menolak Wan Azizah.

Krisis tidak berlaku jika Mat Sabu menyokong pendirian bosnya. Sebaliknya, beliau mengeluarkan kenyataan membantah pembatalan nama Wan Azizah seperti disahkan Pas. Beliau mahu Hadi ikut keputusan Jawatankuasa Pas Pusat.

Sama ada disedari Hadi dan Dewan Ulama atau sebaliknya, krisis kini bukan lagi babitkan Pas dengan PR. Ia sudah membesar menjadi krisis dalaman antara Hadi dengan Mat Sabu.

Yang membimbangkan ahli-ahli parti berhubung masa depan Pas itu sendiri. Ia melibatkan kedudukan pelapis dalam Pas.  Takdirnya Pas memerlukan pengganti, maka pada masa ini Mat Sabulah calonnya.

Bagi Hadi pula apa yang berlaku tentu sesuatu yang menyedihkan. Krisis boleh dielakkan jauh lebih awal jika dia bersikap berani. Kelemahannya ialah membiarkan dirinya dipengaruhi orang luar. Hingga ada yang berkata Pas seperti diremote-control.

Dulu timbalannya, Nasha merupakan pengikut setianya.  Namun apa yang berlaku ialah Nasha gagal mempertahankan jawatan Timbalan Presiden pada 2011 apabila kalah pada Mat Sabu. Dengan sendiri Hadi kehilangan penyokong setia.

Nasha bukan saja seorang ulama juga tokoh profesional. Tetapi Hadi tunduk pada tekanan puak Anwar. Hadi gagal mempertahan Nasha akibatnya Nasha tewas. Mat Sabu menang pun bukan kerana dia hebat. Ini kerana Nasha dijangkiti isu pro Umno.

Label ini berjaya memberi kelebihan kepada pencabarnya.

Hari ini ibarat ribut yang kian reda, Hadi dapat melihat dengan jelas apa yang berlaku pada Pas. Dengan dibantu Setiausaha Agungnya, Mustafa Ali, ia seperti memperoleh cermin mata baharu.

Kalau tanpa Mustafa Ali, sudah lama Hadi masuk perangkap. Dengan dibantu beberapa hulubalangnya, Hadi membina semula kekuatan.

Hari ini, dengan takdir ALLAH, apabila berlaku krisis MB Selangor, Nik Aziz tampil berdiri di belakangnya. Maknanya mantan MB Kelantan itu juga tak setuju cara Anwar menyelesaikan krisis. Lazim hubungan antara mereka ibarat aur dengan tebing.

Hujah ini mungkin hipotetikal tetapi jika Hadi berhenti atau digulingkan maka kekosongan itu diisi Mat Sabu. Ini kerana abang Mat adalah tokoh kedua selepas Hadi. Dewan Ulama tak boleh terus meminggirkannya tanpa terlebih dulu dituduh tidak demokratik.

Walaupun ada hujah mempertikai kredential Mat Sabu konon ia bukanlah ulama macam Hadi atau Nasha ataupun Dr Hasan Ali, yang dipecat dari Pas beberapa tahun lalu ataupun ala-ala NikAziz. Tetapi hakikatnya Pas terpaksa  berketuakan Mat Sabu yang berkedudukan Timbalan Presiden.

Soalnya apakah semudah itu laluan Mat Sabu untuk bergelar Presiden Pas?. Selama ini bagi mereka yang terlupa laluan politiknya penuh berliku lagi berduri. Tetapi ini tidak bererti takhta nombor satu boleh jadi miliknya dengan mudah.    

Sekilas pandang kedudukan Mat Sabu bukan bertambah kuat. Mengambil kira sentimen perwakilan semasa merasmikan Muktamar Pemuda Pas ke-55 di Kota Tinggi Selasa lepas, bantahan diperlihat secara terbuka. Mereka cuma tidak menjerit memintanya meletakkan jawatan tapi jelas terkesan 50 perwakilan memakai jaket hitam “Kami Bersama Presiden dan Majlis Syura.” Ramai juga meninggalkan Dewan Choon Moi apabila Mat Sabu berucap merasmi muktamar.

Takdir politik buat Mat Sabu sudah pun jelas. Mengambil kira apa yang berlaku tidak salah jika kita beranggapan abang Mat kini seperti kata istilah Inggeris Catch 22 - ditelan mati mak, diluah mati ayah.

Read More

PKR - DAP "Tampar" PAS Lagi...

PAS menerima tamparan hebat dari rakan sekutunya, Parti Keadilan Rakyat (PKR) dan DAP, apabila tiada kepimpinan utama dari kedua parti itu yang sudi hadir di majlis perasmian Muktamar PAS kali ke-60 yang berlangsung di Kota Tinggi, Johor, semalam.

Beberapa media yang hadir di majlis berkenaan mendakwa tindakan tersebut sengaja dilakukan terhadap PAS ekoran pendirian Presiden parti itu, Datuk Seri Abdul Hadi Awang yang enggan menamakan isteri Ketua Pembangkang, Datuk Seri Wan Azizah Wan Ismail sebagai calon Menteri Besar Selangor yang baharu.

Abdul Hadi dalam ucapan dasarnya turut menyelitkan unsur sindiran terhadap PKR dan DAP dengan mengingatkan kedua parti itu bahawa PAS tidak pernah khianat pada mereka.

"Sepanjang sejarah PAS, kita tidak pernah mengkhianati rakan tahaluf kita. Maka kita menasihati rakan tahaluf kita agar tidak mengkhianati kita.." tegas Presiden PAS itu, semalam.

Menurut sumber, PKR hanya menghantar Naib Presiden mereka, Tian Chua, dan Shamsul Iskandar Mat Akin sebagai wakil mereka, manakala DAP pula hanya diwakili Ahli Parlimen Kluang, Liew Chin Tong.

PAS kini dilihat seolah-olah "dipulau" oleh PKR dan DAP apabila pimpinan utama kedua parti yang kononnya "sepakat" itu turut tidak hadir di hari penamaan calon Pilihanraya Kecil (PRK) Pengkalan Kubor yang sedang berlangsung di Kelantan.

Desas-desus mula kedengaran di peringkat akar umbi PAS yang mahu parti mereka bertindak keluar dari Pakatan Rakyat ekoran perbuatan PKR dan DAP yang memalukan PAS secara melampau meskipun hubungan mereka hanya tercalar dengan isu yang dimulakan oleh Ketua Pembangkang, Datuk Seri Anwar Ibrahim.

Reaksi majoriti penyokong pro-ulama di dalam PAS juga menegaskan bahawa mereka "bersyukur" atas ketidakhadiran Anwar dan pemimpin utama DAP yang disifatkan hanya akan "mengotorkan" perhimpunan tahunan parti mereka itu. -KedahNews.com

Read More

Istana Titah Amaran, Anwar Jangan Kelirukan Rakyat Kalau Tak Tahu Fakta

SHAH ALAM - Istana Selangor hari ini menafikan kenyataan Datuk Seri Anwar Ibrahim yang menyatakan amalan menghantar satu nama calon menteri besar kepada Sultan merupakan amalan negara sejak mencapai kemerdekaan pada 1957.

Setiausaha Sulit Sultan Selangor, Datuk Mohamad Munir Bani dalam satu kenyataan hari ini berkata maklumat yang dikeluarkan Ketua Umum Parti Keadilan Rakyat (PKR) itu adalah tidak tepat dan dilihat sebagai mengelirukan rakyat.

Beliau menjelaskan semasa pentadbiran kerajaan negeri oleh Barisan Nasional (BN) sebelum ini, pemilihan calon menteri besar yang layak akan dipersembahkan kepada Sultan Selangor dalam Majlis Menghadap untuk diberi perkenan.

Katanya, menerusi senarai calon tersebut, Sultan Selangor akan memilih hanya satu calon untuk dilantik bagi jawatan berkenaan.

"Namun pada (pilihan raya umum) 2008, keputusan pilihan raya di Selangor tidak menyebelahi BN sementara parti pembangkang iaitu PAS, DAP dan PKR pula bergabung untuk membentuk sebuah Pakatan Rakyat bagi mendapat majoriti untuk mentadbir kerajaan negeri Selangor.

"Pada ketika itu, Sultan Selangor menitahkan ketua-ketua parti dalam pakatan tersebut membincangkan calon menteri besar dan dalam majlis perbincangan itu, terdapat beberapa nama calon disyorkan," kata Mohamad Munir.

Justeru, Sultan Selangor melalui Setiausaha Sulit baginda telah mengutus surat kepada ketua-ketua parti dalam pakatan pembangkang untuk mencadangkan dua nama bagi calon menteri besar dan mereka kemudiannya sebulat suara mencalonkan Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim untuk jawatan tersebut, katanya.

Mohamad Munir berkata disebabkan Abdul Khalid memenuhi kriteria dan menepati syarat yang diperuntukkan dalam Undang-undang Tubuh Negeri Selangor 1959, Sultan Selangor berkenan melantik beliau sebagai menteri besar.

Katanya, keadaan sedikit berbeza pada pilihan raya umum 2013 apabila pakatan pembangkang memenangi majoriti kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Selangor menyebabkan calon menteri besar mesti dipilih dalam kalangan anggota Dewan Undangan Negeri (Adun) pakatan pembangkang tersebut.

Namun demikian katanya, Presiden PKR Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail pula menyatakan Abdul Khalid tidak semestinya dikekalkan sebagai menteri besar Selangor dalam kempennya semasa pilihan raya tersebut.

"Sehubungan itu, Sultan Selangor melalui Setiausaha Sulit baginda telah mengutus surat kepada ketua-ketua dalam pakatan pembangkang untuk mencadangkan empat nama sebagai calon menteri besar.

"Walau bagaimanapun, mereka menulis surat kepada baginda untuk mengesyorkan Abdul Khalid dilantik sebagai Menteri Besar Selangor walaupun baginda ada juga menerima penamaan calon lain.

"Namun, berikutan Abdul Khalid adalah penyandang jawatan tersebut sebelum ini dan mempunyai hubungan baik dengan pihak istana dan juga rakyat Selangor, Sultan berkenan melantik semula Abdul Khalid sebagai menteri besar," katanya.

Dalam pada itu, Mohamad Munir menegaskan bahawa polisi pihak istana adalah untuk tidak mendedahkan nama atau maklumat mengenai calon menteri besar yang dikemukakan serta prosesnya namun keadaan yang memuncak memaksa istana mengeluarkan kenyataan untuk memberi penjelasan.

Sehubungan itu, beliau sekali lagi menasihatkan Anwar supaya tidak mengeluarkan kenyataan yang boleh mengelirukan rakyat dan menjejaskan imej Sultan Selangor jika tidak mempunyai fakta tepat.
- BERNAMA

Read More

Budu Laris Di #PRKPengkalanKubor

TUMPAT - Kehadiran Pilihan Raya Kecil (PRK) Dewan Undangan Negeri (DUN) Pengkalan Kubor, di sini sememangnya memberi rahmat kepada segelintir masyarakat terutama kepada pengusaha perniagaan.

Pengusaha kedai makanan khususnya menerima kehadiran pelanggan yang berlipat ganda berbanding sebelum ini, ekoran kedatangan masyarakat luar seperti pasukan keselamatan, petugas pilihan raya dan pegawai kerajaan yang terlibat secara langsung dan tidak langsung pada PRK tersebut.

Pengusaha budu tidak ketinggalan menerima 'habuan' PRK kali ini apabila mendapat permintaan tinggi daripada pengusaha kedai dan orang ramai yang sememangnya semakin meminati makanan tradisional itu.

Budu yang diperbuat daripada ikan bilis yang diperam hingga hancur telah lama menjadi kegemaran masyarakat di negeri Pantai Timur.

Seorang pengusaha budu tempatan Ismail Jusoh berkata, sejak beberapa hari lalu permintaan terhadap budu yang dikeluarkannya dalam sehari meningkat berbanding hari biasa.

"Selalu pada hari biasa saya mengeluarkan 2,000 hingga 3,000 botol sehari, tetapi pada PRK ini permintaan meningkat sehingga 4,000 botol sehari," katanya yang ditemui Bernama di rumahnya di Kampung Ketil, Pengkalan Kubor di sini, pada Khamis.

Ismail yang merupakan pemilik Perusahaan Warisan Ketereh, pengeluar produk budu terkenal 'Budu Cap Ketereh' berkata, permintaan yang tinggi terhadap budu selalunya berlaku pada musim durian atau musim petai iaitu antara Julai hingga September.

Namun, katanya, pada PRK ini pengusaha kedai makan dan restoran yang menjual budu telah menerima kehadiran pelanggan yang tinggi sekaligus 'memaksa' beliau mengeluarkan lebih banyak budu.

"Ada juga orang dari luar negeri yang datang ke sini membeli banyak budu sebagai buah tangan untuk rakan-rakan dan saudara mereka," katanya.

Menceritakan mengenai perusahaan budunya, Ismail, 63, berkata beliau memulakan perniagaan pada tahun 1980 secara kecil-kecilan dengan modal pertama sebanyak RM1,500.

Perniagaannya kemudian berkembang sedikit demi sedikit sehingga mampu membina sebuah kilang dan stor simpanan berhampiran rumahnya dan mampu menggaji lebih 70 orang pekerja.

Ismail berkata, pada masa ini Budu Cap Ketereh keluarannya sudah pun 'merantau' dan dinikmati di seluruh Malaysia dan beliau bercadang pada masa akan datang untuk mengembangkan perniagaan dan mengeksport budunya keluar negara.

Pada PRK itu, calon BN Mat Razi Mat Ail akan ditentang calon PAS Wan Rosdi Wan Ibrahim dan calon Bebas Izat Bukhary Ismail Bukhary.

PRK itu diadakan berikutan kematian penyandangnya daripada BN Datuk Noor Zahidi Omar akibat kanser hati pada 20 Ogos lepas.

Pada pilihan raya umum ke-13, Noor Zahidi mengalahkan Saharun Ibrahim daripada PKR dan Izat Bukhary (Bebas) dengan majoriti 1,736 undi. - BERNAMA

Read More

53 Premis Gagal Patuhi Syarat Terima Sijil Akuan Bomba

Sebahagian peserta yang hadir pada seminar keselamatan kebakaran.

Alor Setar – Pengarah Jabatan Bomba dan Penyelamat Negeri Kedah, Ahmad Shahabudin mengakui sebanyak 53 daripada 298 premis perniagaan di negeri ini tidak diberikan sijil perakuan bomba (FC).

Ahmad Shahabuddin berkata, tindakan tersebut disebabkan premis berkenaan tidak mematuhi syarat yang telah ditetapkan oleh jabatan bagi mengeluarkan sijil perakuan berkenaan.

“FC amat penting kepada setiap bangunan kerana kita nak memastikan premis tersebut mempunyai kemudahan keselamatan, pencegahan kebakaran, perlindungan kebakaran dan menentang kebakaran yang mencukupi.

“Ia juga bertujuan untuk memastikan keselamatan nyawa dan harta benda daripada risiko kebakaran, seterusnya menjamin kesejahteraan dan memelihara ekonomi negara,” katanya dipetik Sinar Harian.

Jelasnya lagi, mengikut statistic pada tahun 2013, pihaknya telah menjalankan pemeriksaan di setiap premis di negeri ini dan mengeluarkan sebanyak 112 notis kepada pemilik premis kerana gagal mematuhi kehendak jabatan bagi mengeluarkan sijil perakuan yang ditetapkan oleh pihak berkuasa.

“Bagi tahun 2014 pula sehingga Ogos lalu, sebanyak 30 pemeriksaan premis telah dibuat dengan pengeluaran notis sebanyak 334.

“Pengeluaran notis ini dibuat kerana premis tersebut telah melanggar Seksyen 2, Akta Perkhidmatan Bomba 1988,” ujarnya lagi. –KedahNews.com/Mohd Shahir Shukor

Read More

Aktres Seksi Luna Maya Kini Bahagia Bersama Kekasih Baru!

Aktres seksi Indonesia, Luna Maya, mengaku bahagia 100 peratus dengan kekasih barunya yang hanya dikenali sebagai "Mr R" meskipun jejaka yang berjaya merampas dirinya dari vokalis Peter Pan, Aeril, itu muda setahun dari usia pelakon kontroversi itu.

“Oh, iya dong lupakan yang lama (senyum). Saya sekarang 100% bahagia. Walaupun saya sering sibuk dengan kerja-kerja saya tapi dia seorang yang sangat memahami. 

"Lagipun dia juga sibuk dengan kerjanya,” kata Luna yang dipetik dari laman hiburan, Murai.com.

Menurut aktres yang terpalit kontroversi mengenai klip video seks bersama bekas kekasihnya itu, wujud kesefahaman membuat dia cukup selesa dengan Mr R yang merupakan seorang penerbit juga ahli perniagaan tersebut.

"Walaupun dia lebih muda daripada saya tapi dia seorang yang sangat memahami. Kami juga punya banyak persamaan. Kami suka menonton wayang, melancong dan paling penting dia suka lagu terbaru saya bersama AC Mizal ini (Paranoid)", jelasnya lagi.

Lebih serius hubungannya dengan Mr R berbanding Aeril sebelum ini, Luna memberitahu bahawa  mereka turut berbincang mengenai soal perkahwinan bersama, namun menjelaskan kemungkinan tidak akan berkahwin pada tahun ini.

Selain itu, dia juga merancang untuk mengarah sebuah filem bergenre romantik-komedi. 

Menurut Luna, dia berhasrat mahu menawarkan filem itu untuk dibintangi oleh sekurang-kuranganya dua orang pelakon dari Malaysia untuk filem tersebut tidak lama lagi. -KedahNews.com

Read More
Newer Posts Older Posts Home