JAKARTA – Ketika tragedi kehilangan pesawat Malaysia Airlines (MAS) MH370 pada 8 Mac lalu yang dalam penerbangan dari Kuala Lumpur ke Beijing, muncul pelbagai kisah menyayat hati melibatkan ramai ahli keluarga kepada penumpang dan anak kapal.
Antaranya cerita pilu Intan Maizura Othaman, isteri kepada seorang pramugara MAS, Mohd. Hazrin Hasnan; yang meluahkan rasa pasrah berikutan insiden tersebut menerusi laman sosial sehingga menjadi viral dan menerima sokongan kata-kata semangat pelbagai pihak.
Ketika itu, dia sarat enam bulan mengandung anak kedua dan ramai pasti menitis air mata menyaksikan Intan Maizura tabah menjawab soalan anak sulungnya, Iman mengenai ketiadaan ayahnya pergi bekerja dan akhirnya faham lelaki itu berada jauh di alam lain.
Imbas kembali… luahan hati Intan Maizura Othaman terhadap suaminya susulan kehilangan pesawat MAS MH370 pada awal Mac lalu. – Gambar hiasan |
Kali ini, kisahnya lebih kurang sama dan susulan misteri kehilangan pesawat AirAsia Indonesia QZ8501 yang dalam perjalanan dari Surabaya ke Singapura semalam, media republik itu turut mendedahkan beberapa cerita sedih anak kapal syarikat tersebut.
Paling menyayat hati, kisah seorang pramugara pesawat tersebut, Oscar Desano yang sempat mengirim gambar kenangan bersama pasangannya, Dessy Purbaningrum dengan ucapan selamat ulang tahun kelahiran ke-25 untuk isterinya itu pada 16 Disember lalu.
Secara kebetulan, isterinya hamil enam bulan anak pertama pasangan tersebut hingga menyebabkan wanita berkenaan amat sedih dan enggan jamah makanan serta mengurung dirinya di dalam bilik rumah mereka ketika didatangi rakan-rakan dan saudara mara.
Beberapa sahabat pasangan tersebut berkata, Oscar sebelum pergi bertugas sempat mengirim mesej kepada Dessy menerusi laman Twitter mendoakan isterinya bakal menjadi ibu terbaik kepada anak mereka dan hanya ajal dapat memisahkan cinta kedua-duanya.
“We did surprise you! Happy 25th birthday my beautiful wife. I hope you’ll be a great mother, a great example, and a great role model to our children. I love you so much, i adore you so much, you’re my everything, always be my wife, always be my friend, always be my biggest enemy. I love you now and then, till only the death do us apart. Enjoy this day my half..,” kata Oscar menerusi pesanan tersebut.
Ramai rakan dan pengunjung laman sosial menerusi akaun Oscar itu mula memberi kata-kata semangat kepada Dessy untuk tetap tabah dalam meneruskan kehidupan pada masa depan selain melahirkan ucapan simpati berikutan peristiwa malang berkenaan.
Beliau merupakan antara empat kru penerbangan yang bertugas dalam pesawat QZ8501 itu bersama-sama dengan Wanti Setiawati, Khairunisa Haidar Fauzi, Wismoyo Ari Pramudi dan seorang juruteknik AirAsia Indonesia, Saiful Rakhmad. – Agensi
0 comments:
Post a Comment