Petunjuk Istikharah
Assalamualaikum ustaz. Saya wanita berumur 40-an bekerja sebagai penjawat awam dan belum berkahwin. Empat tahun lalu, saya ada berkenalan dengan seorang lelaki Pakistan dan kami berdua berhasrat untuk berkahwin tahun ini. Tetapi malangnya, hasrat kami ditentang hebat oleh adik-beradik saya dengan mengatakan jarak umur kami jauh iaitu 12 tahun dan lelaki itu mahu berkahwin dengan saya kerana ada niat yang tidak baik. Sepanjang empat tahun saya berkawan dengannya, tidak ada perkara buruk yang berlaku dan dia merupakan seorang lelaki yang baik.
Saya buat solat sunat tahajud, hajat dan istikharah berterusan selama dua minggu dan berdoa meminta Allah SWT, jika lelaki itu jodoh saya dan seorang yang baik serta tidak ada niat jahat terhadap saya. Sepanjang saya solat istikharah, saya ada bermimpi. Pada malam pertama, saya lihat ramai orang Pakistan. Pada malam kedua, dia datang bersama dengan seorang budak lelaki ke rumah saya. Malam seterusnya, tidak ada apa-apa yang berlaku tetapi pada malam terakhir, dia datang dengan enam kawannya ke rumah saya untuk berjumpa dengan ibu saya mengatakan hasrat untuk berkahwin dengan saya. Saya ingin bertanya dengan ustaz, apakah maksud mimpi ini?
Nora, Kelantan
UKE: Disunatkan kepada kita untuk melakukan solat sunat istikharah jika ingin melakukan sesuatu yang diharuskan oleh syarak. Apabila ingin melakukan solat sunat istikharah, hendaklah dipastikan hati dan jiwa tidak memihak atau berharap kepada sesuatu atau seseorang melainkan hanya mengharapkan petunjuk daripada Allah SWT semata-mata.
Berdasarkan soalan anda, saya dapat merumuskan bahawa anda telah menetapkan hati anda sebelum anda melakukan solat sunat istikharah. Saya mengesyorkan kepada anda supaya melakukannya sekali lagi dan sukalah saya ingatkan bahawa jawapan kepada solat sunat istikharah bukannya datang daripada mimpi semata-mata. Ia juga boleh datang daripada nasihat orang lain, petunjuk di hadapan mata dan perasaan hati yang tawar atau gembira.
Nazar bukan rasuah
Kita bernazar sesuatu tetapi kita cakap “Ya Allah, sekiranya aku dapat capai ini, aku akan berpuasa selama tujuh hari. Adakah itu dikira sebagai memberikan rasuah kepada Allah SWT?
Tijah, Lembah Keramat, Kuala Lumpur
UKE: Diharuskan kepada kita untuk bernazar atas satu-satu perkara, dengan syarat perkara yang hendak dinazarkan itu tidak bercanggah dengan hukum syarak. Nazar yang hendak dilakukan juga mestilah perkara baik seperti bernazar untuk berpuasa, menunaikan umrah, menderma kepada anak yatim dan perkara lain yang baik.
Apabila telah bernazar, maka wajiblah kita melaksanakan nazar tersebut dan nazar seperti satu janji kepada Allah SWT. Ada pihak mengatakan nazar seolah-olah memberikan rasuah kepada Allah SWT sedangkan pendapat ini tidaklah tepat kerana perbuatan nazar itu sendiri adalah diharuskan syarak. Sebaliknya, rasuah adalah diharamkan.
Jadi, tidaklah boleh disamakan seolah-olah memberi rasuah kepada Allah SWT. Saya mencadangkan agar kita berbuat kebaikan terlebih dahulu seperti bersedekah, banyakkan berpuasa dan amalan baik yang lain, kemudian baharulah kita berdoa kepada Allah SWT untuk menunaikan hajat kita. Tetapi dijelaskan sekali lagi, tidaklah salah untuk bernazar dan ia tidak dianggap sebagai rasuah.
Kelebihan ayat al-Quran
Assalamualaimum ustaz. Betul tak ayat 1-3 Surah al-A’raf untuk amalan menjalankan perniagaan bukan makanan. Kalau salah, apa ayat untuk diamalkan bagi maju dalam perniagaan.
Mohamad Hj Basrah, Batu Pahat, Johor
UKE: Ayat al-Quran mempunyai banyak khasiat dan fadilat, malah al-Quran itu sendiri adalah ubat dan penawar. Maka tidaklah salah menjadikan ayat-ayat al-Quran sebagai doa atas apa-apa maksud yang baik. Kelebihan ayat 1-3 Surah al-A’raf, jika diamalkan selalu insya-Allah akan dibukakan pintu rezeki, di samping berusaha dan berikhtiar.
Jadi, sebagai tambahan untuk mendatangkan kebaikan atas perniagaan anda, saya cadangkan agar anda meningkatkan mutu layanan, kebersihan serta banyakkan bersedekah.
Minat dengan Islam
Saya ibu tunggal lapan orang anak. Suami saya sudah meninggal dunia. Kami tidak tahu tentang agama Islam kerana keluarga kami beragama Buddha tetapi hati saya terpikat dengan Islam. Saya kini banyak belajar daripada buku panduan solat. Apa pendapat ustaz.
Anik, Shah Alam, Selangor.
UKE: Alhamdulillah. Semoga Allah SWT memberikan hidayah dan rahmat kepada puan dan anak-anak. Saya suka mencadangkan kepada puan agar mendapatkan maklumat dan pengetahuan tentang Islam daripada ahlinya.
Tanyalah kepada yang arif jika puan ingin mengetahui lebih mendalam. Islam agama berbuat baik kepada seluruh insan dan makhluk. Tidaklah salah belajar dengan buku tetapi menuntut secara berhadapan dan boleh bersoal jawab lebih baik. Membaca buku merupakan bentuk menambah ilmu secara tambahan.
Komisen projek
Assalamuaikum. Suami saya membuat kerja sampingan membawa surat sebut harga daripada kontraktor projek yang mengenalinya untuk mendapat sokongan daripada pihak tertentu. Apabila kontraktor itu berjaya mendapat projek tersebut, dia akan memberikan suami saya bahagian wang tunai yang dijanjikan.
Namun, lulus atau tidak sesuatu projek itu bergantung kepada surat sebut harga yang bagus kerana banyak kontraktor lain turut mendapatkan sokongan daripada pihak berkenaan. Saya ingin tahu adakah duit daripada kontraktor itu rasuah atau tidak, kerana saya risau status halal duit nafkah yang diberikan oleh suami kepada anak-anak selama ini.
Zizie, Melaka
UKE: Berdasarkan apa yang diberitahu oleh puan, kerja suami puan ada unsur-unsur yang boleh membawa kepada sesuatu yang tidak elok. Maka, ada baiknya puan menasihatkan suami puan berhenti daripada melakukan pekerjaan begitu kerana boleh membawa kepada unsur syubahat. Mengelakkan yang syubahat adalah dituntut untuk mengelakkan perkara yang berdosa. -Utusan
0 comments:
Post a Comment